Ibubapa, Tolong Jangan Lakukan Perkara Ini Jika Tidak Mahu Hantar Anak Ke “Gigi Neraka”
| Apabila anak sulung saya menyuarakan kesedihannya kerana saya tidak
membelikan beliau smartphone dan tidak membenarkan beliau menggunakan
duit simpanannya bagi membeli sendiri, dengan alasan susah berhubung dan
berbincang dengan rakan-rakan sebab semua menggunakan Whatsapp, saya
kira beliau juga sudah cukup bersedia untuk saya jelaskan sebabnya.
Pada pandangan saya, ibu bapa yang
memberi anak-anak smartphone pada usia 12 tahun, dengan kemudahan data,
mereka telah mengambil langkah yang sangat salah.
Saya tanya anak saya tadi, “Yop rasa,
kawan-kawan Yop, jika dalam telefon mereka keluar video perempuan
telanjang, gambar lelaki perempuan telanjang, rasanya kawan-kawan Yop
akan delete dan elak tengok, atau bagaimana?”
Anak saya tak boleh jawab.
Dan saya tanya lagi, jika dia sendiri
adakah jiwanya cukup kuat untuk mengelak bahan lucah, judi atas talian,
game atas talian, beliau menggelengkan kepala.
“Kalau Yop terjebak dengan benda-benda
ni, Abi tak mampu tolong Yop sampai bila-bila. Yop akan berdosa setiap
hari sampai dewasa, sampai mati. Abi tak nak Yop fikir Abi ni kolot,
mengongkong, kedekut, I do this simply because I love you and I want to
protect you”
Saya tidak berani mengaku yang saya ini
techno savvy. Tetapi saya tidak buta teknologi. Saya mengendalikan
website era pra blog semenjak 1997, menggunakan Palm VI seawal 1998
hingga ke era Samsung Galaxy S4 pada tahun 2013 dan iPad Air pada tahun
2014. Saya sentiasa mengikuti perkembangan ICT biar pun hanya bertaraf
pengguna. Saya sentiasa pastikan diri saya pengguna celik. Bukan guna
tetapi tidak sedar akan implikasi penggunaannya kepada fizikal,
kognitif, emosi, sosial dan keberagamaan anak-anak kita. Saya berkongsi
pesanan ini bukanlah sebagai ustaz cabuk pengguna telefon cap ayam.
Cukuplah dengan keterlanjuran kita
membuka akaun Facebook untuk anak-anak sekolah rendah dengan menipu
Zuckerberg akan tarikh lahir mereka. Ada sebab kanak-kanak di bawah usia
13 tahun dianggap belum wajar mempunyai akaun Facebook. Tetapi dengan
memberi smartphone bersama peruntukan data, ibu bapa sesungguhnya
menghantar anak-anak ke gigi NERAKA.
“Wahai orang-orang yang beriman,
peliharalah dirimu, dan ahli keluargamu daripada Neraka. Ia dikawal oleh
para Malaikat yang amat ganas dan keras, malah tidak sama sekali
mengingkari Allah berkenaan apa yang diperintahkan ke atas mereka
melakukannya” [al-Tahrim 66: 6]
Ibu bapa yang mencucuh putung rokok ke
tubuh anak dan seterika anak dengan seterika panas, kita kata mereka
berhati binatang dan kejam. Tidak kejamkah ibu bapa yang memudahkan
jalan anaknya dibakar api Neraka? Mendedahkan anak kepada ketagihan
pornografi, games, kebusukan bahasa dan kecelaan akhlaq? Keselamatan,
penjenayah siber, pedophile?
Jangan over confident wahai daddy and mommy. Seriously, have a mercy upon your kids but saving them from the Hellfire.
Harap penjelasan sambil makan sushi tadi membantu dan beliau boleh terima.
Di dalam catatan ini saya mahu
menekankan tentang peer pressure. Jika ibu bapa faham sekali pun,
anak-anak belum tentu faham. Mereka perlu difahamkan. Kepada ibu bapa
yang sangat baik hati bagi anak umur 12 tahun smartphone sendiri,
tolonglah fikir balik.
Baca buku Technopoly oleh Neil Postman.
Seriously!
Sumber: Sembang abah
0 comments :
Post a Comment